Penggunaan istilah 'khalifah' tidak bermakna bahawa hanya dia sahaja yang menjadi khalifah. Ini hanya bermakna kuasa kekhalifahan untuk mentadbir orang-orang Islam dimandatkan kepadanya atas persetujuan ramai.
Antara beberapa gambaran yang jelas mengenai sistem politik Islam adalah:
1. Pemimpin (Amir) akan dipilih dengan merujuk pengisyaratan ayat Al-Quran: "Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa" (Al-Hujurat:13)
Hanya orang seperti ini akan dipilih memegang jawatan Amir. Dia mendapat kepercayaan penuh daripada masyarakat Islam kerana ketakwaan dan kelakuan baiknya. Setelah dipilih dialah tempat masyarakat memberi bai'at ketaatan selagi dia menjalankan Hukum Allah dan Sunnah Rasul.
2. Tetapi pemimpin dan gabenor-gabenor berhak untuk dikritik. Setiap orang Islam lelaki dan wanita berhak mengkritik bukan sahaja kegiatannya dalam masyarakat bahkan kehidupan peribadinya. Dia juga boleh disingkirkan daripada teraju kekhalifaannya. Dari segi undang-undang, kedudukannya serupa dan setaraf dengan rakyat biasa. Dia boleh disaman dalam mahkamah dan dalam keadaan ini dia tidak akandilayan khas.
Kedudukan orang yang dipilih mentadbirkan negara tidak lebih daripada ini: Bahawa semua orang Islam (atau dengan kata lain semua khalifah Allah) mengamanahkan kuasa khalifah mereka kepadanya untuk tujuan-tujuan pentadbiran. Dia bertanggungjawab kepada Allah dan kepada rakan-rakan khalifahnya yang mengamanahkan kuasa mereka kepadanya. Sekiranya dia bertukar menjadi kuku besi, dia sebenarnya disifatkan sebagai seorang perampas kuasa bukannya seorang khalifah. Kerana kediktatoran adalah bertentangan dengan kekhalifaan. Tidak dinafikan negara Islam meliputi seluruh cabang kegiatan hidup manusia dan diasaskan di atas kesejagatan Undang-undang Allah yang mesti dikuatkuasakan oleh pemerintah Islam. Panduan yang digalurkan Allah menyentuh setiap aspek kehidupan mesti dikutkuasakan sepenuhnya. Seorang pemerintah Islam tidak boleh mengenepikan arahan-arahan ini dan mengamalkan dasar-dasarnya sendiri. Dia tidak boleh memaksa rakyat melakukan atau tidak melakukan sesuatu kerja, untuk belajar atau jangan belajar sesuatu kemahiran, untuk menggunakan atau tidak menggunakan sesuatu tulisan, untuk memakai atau tidak memakai sesuatu jenis pakaian, dan memberi pelajaran atau tidak memberi pelajaran mengikut sesuatu sistem. Kuasa-kuasa yang ada pada diktator di Rusia, Jerman dan Itali (pada satu ketika dahulu) atau kuasa yang diamanahkan oleh Attaturk di Turki tidak melambangkan kepimpinan Islam bahkan bercanggah dengan Islam.
Selain itu, satu lagi ciri penting dalam Islam ialah setiap individu bertanggungjawab secara langsung kepada Allah. Tanggungjawab peribadi ini tidak boleh dikongsikan dengan orang lain. Jadi seorang individu menikmati kebebasan penuh untuk memilih mana-mana jalan yang disukainya dan menggunakan kebolehannya mengikut sifat-sifat fitrahnya. Sekiranya pemimpin menyekat perkembangan peribadinya, pemimpin itu akan menerima hukum Allah kerana menindas. Justeru itu, tidak terdapat sedikitpun arahan-arahan yang menyekat pilihan seseorang dalam pemerintahan Rasulullah saw dan khalifah-khalifahnya yang diberi petunjuk.
3. Imam akan mentadbir negara dengan mendapat nasihat dari sebuah Majlis Penasihat (syura) yang mesti menerima amanah itu daripada masyarakat Islam. Tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam melarang mengadakan undian melantik ahli-ahli majlsi ini walaupun cara ini tidak dilakukan di zaman kalifah-khalifah Al-Rasyidin.
4. Keputusan majlis dibuat dengan undian majoriti. Tetapi Islam tidak menganggap bilangan undi menjadi ukuran kebenaran dan neraca akhlak. Firman Allah: "Katakan (wahai Muhammad) yang kotor dengan suci tidak sama walaupun bilangan besar yang kotor itu mungkin mempesonakan kamu"
Menurut Islam, ada kemungkinan pendapat satu orang lebih baik daripada pendapat sebulat suara. Dan sekiranya ini betul, tidak ada sebab kenapa kebenaran mesti diketepikan hanya kerana disokong oleh kumpulan yang kecil. Dan tidak ada sebab kenapa kesalahan diterima hanya kerana ia disokong oleh golongan terbanyak. Oleh itu, pemimpin (Amir) berhak untuk menyetujui pandangan golongan majoriti atau minoriti. Dia juga berhak menyanggah pandangan (keputusan) seluruh ahli majlis dan membuat keputusan mengikut fahamannya. Tetapi di dalam semua hal, golongan awam dalam masyarakat Islam terpaksa memerhatikan cara Amir melaksanakn bidang kekuasaannya sama ada di atas landasan takwa atau didorong oleh kepentingan sendiri. Sekiranya dia mementingkan diri sendiri, rakyat boleh menyingkirkan dari teraju kepimpinan.
5. Orang yang menawarkan pencalonannya atau cuba memenangi kepimpinan, keahlian majlis penasihat atau mana-mana jawatan penting, tidak boleh dipilih. Tidak ada tempat dalam sebuah negara Islam untuk penonjolan calon dan propaganda pilihanraya. Rasulullah saw telah mengarahkan bahawa sesiapa yang menawarkan dirinya untuk satu-satu jawatan tidak layak untuk jawatan itu.
Islam memandang jijik keadaan di mana tiga atau empat orang menawarkan pencalonan mereka untuk satu jawatan, kemudian memancing undi dengan mengeluarkan poster-poster, mengadakan rapat-rapat umum, berkempen dalam akhbar dan cara-cara lain seperti ini. Islam tidak redha sekiranya pengundi dijamu dan dibawa bersiar-siar; dan calon menang kerana dia pandai berbohong, menipu atau menggelapkan wang. Cara-cara terkutuk ini adalah ciri demokrasi yang tidak bertuhan. Dalam sebuah negara Islam, sekiranya ada orang yang mengamalkan walau secebis dari cara-cara ini, dia patut didakwa dan dihukum, bukan dilantik menjadi ahli Majlis Penasihat Khalifah.
6. Parti-parti dan puak-puak tidak diizinkan dalam majlis penasihat negara Islam. Setiap individu adalah bebas dan akan mengeluarkan pendapatnya dengan bebas tanpa dipengaruhi kepentingan parti. Islam tidak membenarkan kita berpihak-pihak dalam politik kepartian tanpa mementingkan kebenaran dan keadilan. Ajaran Islam menghendaki anda memihak kepada yang benar. Dan sekiranya orang yang benar itu kemudiannya membuat kesalahan, anda mesti menentangnya sekalipun dia pemimpin negara.
7. Badan kehakiman dalam Islam mestilah secara keseluruhannya bebas dari badan pentadbiran. Tugas hakim ialah melaksanakan Hukum Allah dalam kalangan hamba-hambaNya. Hakim tidak boleh duduk kerusi keadilan sebagai wakil Khalifah tetapi wakil Allah Yang Maha Besar. Oleh itu, seseorang Khalifah sekalipun tidak mempunyai hak istimewa dalam mahkamah. Tidak ada orang boleh dikecualikan dari dituduh dalam mahkamah kerana hubungan keluarga atau jawatan. Seseorang buruh kasar, petani miskin, dan peminta sedekah berhak menyaman orang-orang berkedudukan tinggi termasuk Khalifah menerusi mahkamah Kadi dalam negara Islam. Kadi juga berhak menghukum Khalifah seperti mana-mana orang Islam biasa. Dan sekiranya Khalifah mempunyai pertikaian peribadi dengan sesiapa saja, dia tidak boleh menggunakan kuasa pentadbiran untuk bertindak sesuka hatinya. Menurut perlembagaan negara Islam, dia mesti mencari keadilan melalui mahkamah seperti rakyat biasa.
(Pembentangan kertas kerja di satu perjumpaan Persaudaraan Islam antara Kolej di Lahore, Pakistan. Oktober 1939)
No comments:
Post a Comment