Wednesday, April 17, 2013

Himpunan Status Facebook : Ringkasan Sifat Solat Nabi SAW #1


Bismillah, Alhamdulillah. Dihimpunkan disini beberapa tulisanku dalam status Facebook berkenaan Sifat Solat Nabi SAW. Semua nya adalah dalam bentuk ringkasan beberapa ayat berkenaan Sifat Solat Nabi SAW. Setiap yang ditulis adalah pegangan yang rajih (kuat) dari segi hujah dan dalilnya bagi saya dalam perihal Sifat Solat Nabi SAW berdasarkan pembelajaran saya dalam kelas-kelas masyayikh yang saya hadiri dan juga tela'ah serta kajian saya. Ini adalah himpunan pertama, dan ia akan bersambung insyaAllah pada himpunan seterusnya.

1- Solat itu adalah rukun kedua dalam Rukun-Rukun Islam, bahkan telah ijma' para Sahabat akan kafirnya mereka yang meninggalkan Solat dengan sengaja. Sesetengah fuqaha' berpendapat kafir itu jika dia meninggalkan Solat dengan sengaja beserta mengingkari kewajipannya

2- Dianjurkan memasuki masjid dengan mendahulukan kaki kanan, dan sunnah berdoa (Allahummaftah li abwaba rahmatik) ketika memasuki masjid. Disyariatkan untuk bersolat 2 rak'at solat Tahiyatul Masjid, dan tidak menjadi masalah jika seseorang itu duduk dahulu samada untuk minum air, atau berehat sebentar kerana penat dan lain-lain, kemudian baru bersolat 2 rak'at Tahiyatul Masjid, tiada masalah padanya. Dan tidaklah sunnah seseorang itu sengaja melewat-lewatkan solat Tahiyatul Masjid tanpa ada apa-apa keperluan.

3- Solat 2 rak'at ketika memasuki masjid (dinamakan tahiyatul masjid) adalah sunnah secara ijma', dan ia adalah disyariatkan. Namun para fuqaha' berbeza pendapat akan hukum tahiyatul masjid, mazhab zahir seperti Daud `Ali al-Zahiri dan Ibn Hazm berpendapat ia wajib sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Qadhi Iyadh, manakala para imam mazhab yang empat berpegang ia mustahab (dianjurkan) dan bukannya wajib.

4- Berkenaan hakikat solat tahiyatul masjid pula, perlu diketahui nama khas tahiyatul masjid ini tidak thabit dari Salaf, tidak dari hadith, ia hanyalah penamaan oleh fuqaha' terkemudian. Bahkan sebenarnya solat tahiyatul masjid ini bukanlah satu jenis solat yang berdiri dengan sendirinya sebagaimana solat witir yang berdiri dengan sendiri, solat dhuha yang berdiri dengan sendiri, solat rawatib yang berdiri dengan sendiri. Akan tetapi sebenarnya solat 2 rak'at memasuki masjid ini ia adalah termasuk daripada jenis solat nawafil mutlak (solat sunat mutlak) atau apa sahaja solat-solat lain yang disyariatkan. Dengan kata lain disunnahkan melakukan apa-apa saja solat yang disyariatkan ketika masuk masjid, contohnya sekiranya seseorang itu memasuki masjid dalam waktu dhuha dan beliau solat dhuha sebanyak 2 rak'at maka beliau telah dikira melakukan tahiyatul masjid, atau masuk masjid dan bersolat 2 rak'at rawatib dikira juga tahiyatul masjid.

5- Tidak thabit dari Nabi SAW akan sebarang doa atau zikir sebelum Takbiratul Ihram untuk solat, menghadirkan niat itu adalah dalam hati dan tidaklah ia dijahrkan mengikut pendapat yang sahih. Sesetengah ulama mengharuskan niat diucap secara jahr sekiranya seseorang itu sangat kuat was-wasnya, dengan syarat tidaklah dianggap ia sebagai satu perlakuan atau rukun solat. Terdapat riwayat dengan isnad yang secara zahirnya sahih yang menunjukkan secara zahirnya al-Syafie menjahrkan niat tetapi ia tidak sarih

6- Qiam (berdiri) dalam Solat itu adalah rukun untuk solat fardhu, manakala ia sunat untuk solat al-nafilah (solat sunat), untuk solat fardhu tiada masalah jika seseorang yang masih mampu berdiri tetapi tidak kuat untuk bergantung kepada tongkat atau menyandar ke dinding bagi yang memerlukan, ini termasuklah yang sakit atau yang tua - yang masih boleh berdiri tetapi tidak kuat - , jika benar-benar tidak mampu berdiri langsung setelah berusaha sehabis baik berdiri walaupun dengan tongkat atau menyandar ke dinding maka diringankan untuknya duduk

7- Disyariatkan sedekap ketika qiam (berdiri) dalam solat dengan meletakkan tangan kanan atas kiri, tidak thabit akan tempat dimana sedekap itu diletak walaupun satu hadith. Beramal akan Salaf sedekap itu di perut, atas pusat, bawah pusat, atas pusat bawah dada, di pusat, semuanya ini diamalkan Salaf. Yang terkuat ialah dibawah pusat sebagaimana yang dijazamkan Ishaq bin Rahawaih dari kalangan Salaf. Adapun didada tidak thabit dari Salaf, bahkan dibenci Ahmad bin Hanbal, namun sesetengah Khalaf beramal dengannya atas anggapan mereka hadith itu sahih.

8- Disunnahkan mengangkat tangan dalam solat pada 4 tempat iaitu: 1- Takbiratul ihram , 2 - Ruku' , 3 - Bangun dari ruku' , 4 - Bangun dari rak'at kedua untuk masuk rak'at ketiga

9- Boleh turun sujud samada dengan tangan dahulu atau lutut dahulu bergantung kepada keadaan dan keselesaan diri. Kedua cara diamalkan Salaf dari kalangan Sahabat Nabi SAW. Dan sujud itu adalah dengan 7 anggota iaitu 1 dahi (termasuk hidung), 2 tangan, 2 lutut dan 2 kaki. Tidak dirapatkan buku lali atau tumit mengikut pendapat yang lebih sahih dan jari diarahkan ke qiblat. Kemudian berkata "Subhana Rabbiyal A'la" (tanpa tambahan "wabihamdih") sebanyak 3 kali atau lebih tidak menjadi masalah bahkan lebih baik, atau "Subbuhun Quddus Rabb ul-Mala'ikatu wal-Ruh", dan sujud adalah sebaik-baik waktu berdoa dalam solat

10- Disyariatkn berisyarat dengan mengangkat jari ketika tasyahhud seraya membengkokkan sedikit jari, dilakukan dari mula hingga akhir.Tidak sunnah tahrik (menggerak-gerak jari) dalam tasyahhud, tidak thabit dari Nabi SAW mahupun Salaf bahkan hadithnya munkar, khata'. Adapun membengkokkan jari thabit dalam hadith riwayat Malik bin. Numair al-Khuzai'i, disahihkan al-Nasa'i, Ibn Khuzaimah bahkan dibuat bab khas dalam kitab mereka akan fiqhnya. Malik bin. Numair tidaklah majhul bahkan thabit mendengar beliau dari ayahnya sebagaimana yang dijazamkan al-Bukhari. Dan tiadalah dalam tasyahhud awal itu akan selawat kepada Nabi SAW, sedang pada tasyahhud akhir ia sunnah.

11- Bermula solat itu adalah dengan takbiratul ihram, tiadalah sebarang zikir, doa atau bacaan tertentu sebelum takbir dan berakhirnya solat dengan salam. Dan salam itu diberi ke kanan dan ke kiri dengan berkata "assalamu'alaikum warahmatullah", adapun tambahan "wabarakatuh" adalah munkar, tidak thabit. Salam pertama ke kanan adalah fardhu dan wajib manakala salam kedua ke kiri adalah sunat. Disunnahkan untuk berpusing ke kanan atau ke kiri akan imam itu seraya mengadap makmum, kemudian berzikir dengan zikir yang thabit selepas solat secara siir (perlahan-lahan) dan dibolehkan bagi imam itu menjaharkan zikir sekiranya untuk mengajar, sesetengah fuqaha' membolehkan zikir itu dilakukan secara jahr - bagi imam atau makmum - walaupun bukan dengan sebab mengajar. Adapun berzikir secara kolektif  (berjamaah) dengan seorang ketua tiada asalnya daripada Salaf dan tidaklah sunnah. Kemudian berdoa selepas selesai zikir sekiranya mahu secara sendiri tidak menjadi masalah.

Sekian untuk himpunan #1
Abu Ismail Muhammad Fathi Ali al-Tabib 
Iskandariah / Mesir / 24 Sept 2011
http://www.facebook.com/notes/fathi-al-sakandary/himpunan-status-facebook-ringkasan-sifat-solat-nabi-saw-1/160110980743771