Saturday, October 31, 2009
Apabila Peraturan dan Undang-undang Tuhan Diperlekehkan….
Agama Islam telah hadir di tengah-tengah umat manusia dengan membawa seribu satu rahmat yang terkandung di dalamnya . Islam, agama yang sejahtera, selamat lagi menyelamatkan. Islam telah menerangi kehidupan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yakni petunjuk yang membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam melalui ajarannya yang syumul, lengkap yang merangkumi seluruh aspek dan bidang kehidupan manusia sejagat amat sesuai untuk dipraktikkan dalam semua keadaan dan di mana jua. Sesungguhnya tiada satu pun ajaran atau agama di dunia ini yang mampu mengatur segenap aspek kehidupan manusia melainkan satu-satunya agama iaitu agama Islam, agama yang mendapat keredhaan disisi Allah SWT . Sabda Nabi saw :
“ Agama Islam itu adalah yang tertinggi dan tiada yang
tertinggi selainnya”
Jesteru, hanya manusia yang sihat dan jernih akal fikirannya sahajalah yang akan menjadikan Islam itu sebagai alternatif dalam beragama. Hal ini hanya akan berlaku apabila ia menilai setiap inci daripada ajaran Islam tersebut dari sudut neraca kebenaran. Ini kerana tiada satu pun ajaran yang terkandung di dalamnya melainkan semuanya mengandungi seribu satu hikmah yang tersembunyi demi untuk kemaslahatan manusia itu sendiri semata-mata baik dalam hidup individu, berkeluarga, dan seterusnya bermasyarakat.
Agama Islam mengajar umatnya agar hidup berperaturan dan berdisiplin dalam semua keadaan.Menurut ajaran Islam; ibadah-ibadah fardhu yang dikerjakan itu wajib dilaksanakan mengikut syarat-syarat tertentu bagi menentukan apakah ibadah yang dikerjakan itu sah atapun batal yakni tertolaknya ibadah tersebut. Semua peraturan ini dilakukan semata-mata adalah untuk mendidik dan melatih umat manusia itu agar hidup dalam keadaan berdisiplin dan berperaturan seperti menghargai masa, patuh pada tugas yang diberikan, jujur dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan yang paling penting Islam mengajar kita jangan melampaui batas kemanusiaan. Apabila hikmah yang terkandung di sebalik perintah ibadah-ibadah tersebut difahami, dihayati dan seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan, maka sudah tentunya keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat itu akan terbina dengan sendirinya.
Namun sikap segelintir manusia itu sendiri yang enggan patuh dan tunduk pada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya menyebabkan manusia sentiasa berada dalam suasana kelam kabut, kucah kacir dan hilang pedoman hidup. Nilai-nilai kemanusiaan sudah terhakis. Kasih sayang, tolong menolong, pemaaf, pemurah, rendah diri, amanah dan ikhlas dan lain-lain sifat mahmudah tidak lagi mendapat tempat dalam kehidupan individu mahupun bermasyarakat. Sebaliknya kehidupan yang berpaksikan kepada hawa nafsu semata-mata telah menjadi pedoman dalam kebanyakan masyarakat masa kini. Rasuah, berjudi, minum arak, gejala sosial dalam kalangan remaja, gejala haruan makan anak, penindasan terhadap kaum yang lemah oleh golongan yang tidak berhati perut dan sebagainya telah bermaharajalela dan menguasai masyarakat. Hidup semakin terumbang ambing dan tiada ketenangan. Sedangkan ketenangan hati itulah kebahagiaan yang hakiki dan merupakan fitrah bagi setiap insan. Jelasnya, kehidupan kita seolah-olah menuju kepada kegelapan yang bakal membawa kepada kehancuran dan kemusnahan.
Persoalannya sekarang ialah mengapa semua ini berlaku? Jawapan kepada persoalan ini sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan melainkan sikap manusia yang lebih bertuhankan kepada hawa nafsu dan akal semata-mata. Ditambah lagi dengan meresap masuknya fahaman-fahaman atau ideologi orientalis yang menganggap urusan dunia dan akhirat itu adalah urusan yang tidak perlu dicampuradukkan. Dunia-dunia, akhirat-akhirat. Pendek kata dunia lain dan akhirat pun lain. Hukum Tuhan yang serba lengkap tidak lagi diambil kisah atau diambil peduli, apalagi diamalkan. Peraturan Tuhan sudah diperlekehkan. Undang-undang Tuhan yang Maha Bijaksana itu diketepikan begitu sahaja seolah-olah Tuhan “tak perlu masuk campur” dalam urusan hidup manusia. Seolah-olah peraturan yang telah dirangkakan dengan begitu sistematik itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi untuk diamalkan pada zaman sekarang. Orang bertudung, memelihara janggut, berserban, pendek kata semua amalan syariat tersebut walaupun ia sunat, dianggap sebagai ketinggalan zaman. Lebih daripada itu perintah suruhan dan larangan Tuhan dianggap sebagai undang-undang yang kononnya hanya mengongkong dan menyekat kebebasan manusia. Nauzubillah...
Demikianlah pandangan-pandangan golongan yang bertuhankan nafsu dan akal. Kerana merekalah pintu-pintu kemaksiatan, perpecahan, persengketaan yang akhirnya membawa kepada kehancuran hidup manusia terbuka dengan begitu meluas sehinggakan muncullah golongan-golongan tertentu yang mula berani memperleceh dan mencemari kesucian ajaran agama Islam. Akibatnya umat Islam semakin hilang jati diri. Maruah dan harga diri begitu mudah dijual beli. Bukan sedikit dalam kalangan umat Islam dan Negara Islam pada hari ini telah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Apakah puncanya?. Sudah tentulah sikap sesetengah umat Islam itu sendiri.
Sebagai umat “pilihan” Tuhan, kita sepatutnya rasa bertuah kerana memiliki agama yang mampu membawa kita kepada kebahagiaan hidup. Sewajarnyalah kita kembali sepenuhnya kepada agama yang syumul ini iaitu dengan mengamalkan segala suruhan yang terkandung di dalamnya dengan sebaik-baiknya. Sudah tiba masanya untuk kita berusaha mengembalikan semula jati diri kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan dengan mengamalkan segala ajaran Islam tersebut, kita dapat membina semula zaman kegemilangan Islam yang suatu ketika dahulunya telah mencapai zaman keunggulan sehingga Islam telah disegani dan disenangi oleh semua pihak kawan mahupun lawan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment