Salam,
Ramai yang keluar daripada Ramadhan, tetapi mereka lupa bahawa mereka mungkin menjadi muflis, iaitu amalan mereka ditolak, atau diambil ganjaran mereka dan diberikan kepada orang lain, atau sehingga satu tahap, dosa orang lain diambil dan dicampakkan kepada mereka!
Mari kita semak, adakah Ramadhan kita masih berbaki, atau ia telah punah sia-sia semoga kita terselamat daripada termasuk dalam golongan ini.
1- Nabi berkata:
من ترك صلاة العصر حبط عمله
«Sesiapa meninggalkan salat `Asar, terhapus amalannya» [Al-Bukhariy/ 594]
Berapa ramaikah antara kita yang berpuasa tetapi meninggalkan salat? Maka masih adakah baki pahala Ramadhan?
2- Abu d-Darda’ berkata:
من ترك صلاة مكتوبة حتى تفوته من غير عذر فقد حبط عمله
Sesiapa yang meninggalkan salat yang ditetapkan sehingga ia luput daripadanya dengan tanpa keuzuran, maka sesungguhnya terhapus amalannya [Al-Iman Libni Abi Syaybah/ 50]
Berapa ramaikah antara kita yang masih liat untuk bersalat saban hari? Maka masih adakah baki pahala amalan yang tinggal?
3- Abu Hurayrah meriwayatkan kata-kata Nabi:
ومن ردت عليه صلاته رد عليه سائر عمله
«Dan sesiapa yang ditolak ke atasnya salatnya, ditolak ke atasnya seluruh amalannya» [Mujma` Az-Zawa'id/ (2/150), Al-Haysamiy menyebut: Isnadnya hasan]
Berapa ramaikah antara kita yang bersalat, tetapi masih jahil dengan salatnya? Atau yang hanya melepaskan batok di tangga? Akan diterimakah salatnya? Maka masih adakah baki pahala amalan yang tinggal?
4- Kata Nabi lagi:
لأعلمن أقواما من أمتي يأتون يوم القيامة بحسنات أمثال جبال تهامة بيضاء ، فيجعلها الله عز وجل هباء منثورا . قال ثوبان : يا رسول الله ، صفهم لنا جلهم لنا أن لا نكون منهم ونحن لا نعلم ، قال : أما إنهم إخوانكم ، ومن جلدتكم ، ويأخذون من الليل كما تأخذون ، ولكنهم أقوام إذا خلوا بمحارم الله انتهكوها .
«Saya mengetahuï kaum-kaum daripada umat saya, mereka akan datang pada hari Qiyamah dengan kebaikan-kebaikan seperti gunung-gunung Tihamah yang putih, maka Allah menjadikannya seperti debu yang berselerak». Sawban berkata: Ya Rasula Llah, sifatkanlah mereka untuk kami, jelaskan mereka untuk kami supaya kami tidak menjadi dari kalangan mereka sedangkan kami tidak mengetahuï. Dia berkata: «Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu, dan daripada kulit kamu, dan mereka mengambil daripada malam sebagaimana yang kamu ambil, tetapi mereka ialah kaum-kaum yang apabila mereka bersendirian bersama larangan-larangan Allah, mereka melanggarnya» [As-Sahih Al-Musnad/ 196, Al-Wadi`iy berkata: Hasan]
Berapa ramaikah pula antara kita yang baik di hadapan orang, tetapi apabila bersendirian, banyak kejahatan yang kita lakukan? Maka masih adakah baki pahala amalan yang tinggal?
5- Kata Nabi:
من أحدث في أمرنا ما ليس فيه فهو رد
«Sesiapa yang memperbaharuï dalam urusan kami, apa yang tiada ada di dalamnya, maka dia adalah ditolak» [Abi Dawud/ 4606, disahihkan oleh Al-Albaniy]
Berapa banyakkah daripada amalan yang kita lakukan adalah sahih menepati sunnah nabi? Berapa banyak pula amalan kita yang selamat daripada pembaharuan, daripada apa yang tiada di dalam agama sebelumnya?
Maka hisablah diri sebelum berbangga dengan amalan anda! Maka masih adakah baki pahala amalan yang tinggal?
WaLlahu a`lam.
Ditulis oleh:
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
30/08/2011 16:45H
http://ad-diyari.com/
http://www.facebook.com/notes/ad%C3%B6ulin%C3%A9-lacharouphe/ulasan-masih-berbakikah-pahala-ramadhan/271589856185280
No comments:
Post a Comment