Ruang segiempat dalam pandangan tiga dimensi itu terasa sunyi dan sempit. Setiap penjurunya bagaikan bergerak perlahan-lahan menuju ke titik pusat. Kecil dan semakin kecil. Gerakan itu bagaikan menghimpitkan lima batang jejari kanan yang sedang ligat menconteng di tengah-tengah titik pusat ruang segiempat itu. Kelihatan di tengah-tengah itu bagaikan ada orang yang tidak siuman. Mula-mula jejari telunjuk. Disusuli pula jari hantu, jari kelingking, jari tengah dan akhirnya ibu jari yang sudah separuh kudung. Gayanya umpama manusia yang penuh dengan kevarisian yang tiada samanya dengan orang lain. Tiadapun kelihatan di tangan kanan itu sebatang pen ataupun sebatang berus. Hanyasanya lima jejari itulah yang ada; yang saat demi saat dihimpit oleh pepenjuru segiempat itu. Dan begitulah jua lumrah hidupnya. Hidup umpama musafir yang semakin dipinggirkan. Kalau tidakpun umpama seniman jalanan yang tidak bernama.
Dalam ruang segiempat itu jugalah, sejengkal demi sejengkal kakinya mula bergerak-gerak; menolak himpitan pepenjuru itu. Entah apa yang difikirkannya. Mungkinkah dia memikirkan bahawa dia akan selamat. Selamat dengan kota impiannya. Kota yang hanya ditinggali oleh margastua-margastua yang semakin tua dan pupus. Kota yang hanya ditinggali oleh pepohon renek yang tinggal reranting kurus dan dedahan rapuh. Dan mungkinkah dia memikirkan bahawa kota impian itulah yang mencetuskan kontroversi dengan aliran darah-darah suci yang harum semerbak dari titisan-titisan kulit yang dihiris rerumput semalu tinggi dan tajam. Dan setinggi manapun semalu di kota impian itu... dalam ingatannya hanya satu; Lawan tetap lawan, jangan undur ke belakang, agar perjuangan menegakkan keadilan tertunai dengan nilai yang tidak mampu dihitung oleh wang ringgit. Biar pun dirinya dihimpit oleh pepenjuru segiempat itu.
Dia masih lagi terngiang-ngiang jeritan sayu si anak-anak kecil, balu-balu dan si janda-janda berkerut di dahi; merintih... takut... meraung... sedih... geram... dengan suara tersekat di kerongkong. Di depan mata mereka melayang-layang besi-besi kecil lagi tajam yang boleh menembusi tempurung kepala mereka. Bukan satu tempurung sahaja, bahkan dua tiga tempurung pun akan disentuhnya. Ketika itu air mata darah sekalipun tidak mampu menjawab persoalan yang bermain di benak fikirannya. Hanya dakwat merah saja yang menjadi latar kehidupannya. Dan hanya tubuh-tubuh bogel saja yang menjadi tanah dan dataran tepatnya berpijak.
Dia menangis apabila mengenangkan kisah itu. Dan di kota impian itulah terjawab segala-galanya. Kesedihan, kekesalan, keperitan dan kedukaan tersimpan di kota itu jugalah. Duka seorang hamba yang terlupa asal usulnya. Duka yang sekadar menjadi pemerhati dunia. Dia menangis dan terus mengesatnya. Dan air mata itulah menjadi teman hidupnya. Tapi apakan daya; kalau bukan minggu ini, minggu depan... kalau bukan bulan ini, bulan depan... kalau bukan tahun ini, tahun depan... perjuangan dan hidup ini mesti diteruskan.
"Hai, Nase! Sehari suntuk kau melukis. Apa yang kau lukiskan?"
"Abstrak!"
"Abstrak?"
"Biasalah Rie... Kalau dah hobi, nak buat macam mana?"
"Kalau iyapun... Solat Zohor dah ke belum?"
"Astaghfirullah...Belum!". Nase bingkas bangun dari kerusi buruk di tengah-tengah pepenjuru segiempat itu. Rie hanya menggelengkan kepalanya. Rie masih teringat akan pesanan rakannya itu. "Hobi... Hobi juga, pasal solat; jangan sampai tinggal. Jangan sampai dunia diuruskan hinggakan akhirat diabaikan. Bila dunia dah menjadi rebutan, maka akhirat akan menjauhkan kita. Bukan lantaran akhirat itu menjauhkan dirinya, hanyasanya kitalah yang menjauhkan diri dari beramal untuk menuju akhirat itu. Kata orang; cinta dunia dan takutkan mati"
"Rie!!! Apa yang tenungkan itu? Lukisan itu belum siap lagi"
"Nase, lain benarlah lukisan kamu ini. Tak sama dengan yang lain. Lukisan ini macam penuh dengan emosi. Warna merah menyelubungi latar, warna coklat terputus-putus menjadi tapaknya. Tak fahamlah?"
"Rie... Rie... Sejauhmanapun ketidakfahaman kamu itu, aku lagi tak faham mengapa aku melukis macam itu. Tangan ini sajalah yang faham akan isinya"
"Lain benarlah huraiannya. Tak macam selalu. Rasanya... inilah satu-satunya lukisan yang tak terjawab bila ku tanya. Takkan rahsia kot?"
"Rie... Rie... Rasanya kau takkan faham. Walaupun angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa iu mampu menggoyangkan dedaunan kelapa dan kita mampu menyaksikan lambaian-lambaian indah, kau takkan mungkin faham. Hatta aku sendiri pun takkan faham"
"Jika begitulah ceritanya, sampai kiamat pun aku takkan faham. Jadi... macam mana aku bisa memahaminya dong?"
"Kalau kau nak faham juga, siapakah sebenarnya yang paling malang di dunia?"
"Mereka dan keluarga merekalah"
"Rie!... Rie!..." Nase menggelengkan kepala.
Gelengan yang paling menjengkelkan nalurinya. Kerana gurauan semacam itulah, anak-anak kecil yang masih bayi itu kehilangan kedua orang tuanya. Dan kerana gurauan begitulah, akhirnya tubuh badan mereka tidak mempunyai harga lagi. Bahkan lebih jijik seperti sampah yang kian berulat lagi berbau busuk.
(bersambung)
No comments:
Post a Comment