(sambungan)
Nase meneruskan kerjanya. Dentuman-dentuman air hujan, cakaran-cakaran kuku besi dan deruan nyaring bersama larian kekura mempercepatkan lagi gerakan jejarinya. Kali ini bakul sampah yang sentiasa bersamanya tidak lagi menjadi sarang tebuan. Kali ini bakul sampahnya itu bersama-sama meratapi kesyahduan menggila dalam benaknya. Tiada lagi kedengaran laungan-laungan pilihan raya yang selalu bermain di benak fikirannya. Tiada lagi gelak ketawa anak-anak muda lagi mudi tanpa seurat benang menghantui kotak fikirannya dan tiada lagi jejari tangannya itu berhenti dari mengukir kanvasnya. Kini, kanvas itu semakin ligat diwarnai dengan himpunan berwarna dan lima jari itu tidak mahu ketinggalan daripada menjadi bahana kekotoran warna-warnanya. Biarlah warna-warna itu menjadi tanda ketidakfahamannya.
"Saudaraku dalam iman. Dunia ini hanyalah sebuah tempat persinggahan sementara. Di dalamnya dipenuhi dua jenis manusia. Orang yang pertama adalah orang yang berpegang kepada Al-haq dan yang satunya lagi merupakan orang yang berpegang kepada Al-batil. Adapun orang yang pertama tadi, adalah manusia yang hidupnya penuh dengan Nur cahaya, yang terang benderang lagi indah berkelipan. Manakala yang keduanya pula dipenuhi dengan kegelapan umpama melihat seekor semut hitam di dalam lubang yang gelap di waktu malam. Orang yang pertama menjadikan ketaatannya hanya kepada Alloh dan RasulNya namun orang kedua hanya menjadikan syaitan dan kuncu-kuncunya; sebagai idola hidupnya. Untuk menjadi orang yang memegang Al-haq itu bukannya mudah berbanding Al-batil kerana manusia yang hanya menurutkan hawa dan nafsunya dengan mudah menjadi sasaran Al-batil itu".
Nase berhenti seketika apabila kotak mindanya tiba-tiba diganggu oleh kata-kata itu. Dari manakah datangnya suara itu. Setahunya, tiada pun kelihatan surau atau masjid berdekatan dengannya. Hatta rumah setinggan pun tidak kelihatan batang hidungnya. Hanyasanya dia ditemankan oleh pohon-pohon renek dan rumput-rumut rumpai yang berlatarkan pandangan indah sang tasik yang menghijau lagi jernih.
"Adakah aku bermimpi?" bisik hati kecilnya. Kini otak mindanya begitu ligat berfungsi sehinggakan impuls yang dibawa oleh beberapa saraf dalam tubuhnya menuju saraf tunjang pun tidak mampu memtafsirnya. Namun Nase meneruskan juga gerak geri jari jemarinya. Ligat dan pantas pergerakannya.
"Redupnya lukisan ini!"
Entahlah. Seredup-redup lukisan itu, redup lagi hati kecilnya itu. Ingin sahaja dititiskan air matanya dan meraung sekuat-kuatnya. Kenapalah manusia yang tidak berdoa itu menjadi mangsa kekejaman manusia yang lainnnya. Kenapa bukan dirinya yang dijadikan sasaran kekejaman itu. Sekurang-kurangnya dia boleh mempertahankan haknya sebagai penghuni dunia seperti mereka.
Nase berhenti daripada melukis. Baginya, seni yang mengalir dalam darahnya tidak lagi berharga. Jari jemarinya mula malas dan tidak berupaya meneruskan lukisan itu. Hatinya semakin sebak. Dia mula terkenangkan kisah silamnya. Dia diberi makanan basi sebagai sarapan paginya dan menjadi hamba abdi di sebelah petangnya sekembali dari sekolah. Tapi, itu hanya perkara kecil; kerana dia masih boleh makan dan masih boleh bersekolah. Tapi, mereka! Tiada seorang pun yang memperdulikannya. Samalah seperti mana dia tidak diperdulikan di bawah jambatan usang bersama sehelai kain sarung sahaja. Kalau sekadar berunding di meja bulat, di bilik berhawa dingin, berbumbung, berkerusi empuk dan dijamahkan dengan makanan-makanan yang lazat, takkan mungkin dapat menyelesaikan keperitan yang mereka alami itu. Mereka bukannya inginkan rundingan, tapi mereka inginkan bantuan dan keadilan. Bantuan yang berbentuk besi. Besi yang boleh melayang seperti mana musuh mereka gunakan. Bantuan yang boleh membela titisan merah yang tertumpah tanpa diminta dan bantuan yang mampu menagih hutang-hutang yang tidak terbayar dan sengaja dilupakan. Lihatlah resam angsa, seekor dikacau maka yang lain bingkas bangun mengejar dan menentang. Walaupun dia tahu lawannya bukan calang-calang kehebatannya. Kalau sekadar rundingan, takkan mungkin dapat membentuk keadilan; kerana rundingan itu lebih dikuasai oleh penentang-penentang kedamaian. Dan dengan rundingan itulah, anak-anak yatim piatu, janda-janda dan orang yang berkerut di dahinya semakin bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dan dalam suasana itulah, hati Nase bagaikan memberontak. Ingin sahaja dikoyakkannya lukisan di hadapannya. Ingin sahaja diconteng-contengnya karya yang baru itu biar menjadi puntungan-puntungan rokok yang telah dilenyek-lenyek oleh kaki-kaki gajah.
(bersambung)
No comments:
Post a Comment