Friday, January 15, 2010

Akhlaq yang berdasarkan kepada pengalaman indera semata-mata

Suatu natijah yang tidak dapat dielakkan hasil dari titik pandangan ini dalam kehidupan individu ialah bahawa keseluruhan ruang lingkup akhlaq manusia mestilah bebas dan kosong daripada sebarang perasaan tanggungjawab. Manusia akan menganggap dirinya sendiri sebagai yang berkuasa penuh ke atas badannya dan kekuatan-kekuatan fizikalnya. Oleh itu, ia akan menggunakan kekuatan-kekuatan fizikalnya dan kualiti-kualiti akal dan hatinya menurut kehendak nafsu dan ragamnya. Ia akan menganggap bahawa semua benda-benda dan seluruh manusia yang telah diletakkan di bawahnya secara kebetulan sebagai barang kepunyaannya dan dirinya sebagai tuan mereka. Hanya batasan-batasan undang-undang tabi’e dan had-had yang terpaksa dikenakan oleh kehidupan secara kolektif, yang meletakkan batasan terhadap kekuasaanya.

Dirinya sendiri akan kosong daripada apa-apa perasaan moral. Suatu perasaan bertanggungjawab dan takutkan penghisaban dan tidak ada kuasa moral yang akan mengawal tindakan kerasnya. Jika penahan-penahan luar ke atas tindakannya tidak ada atau jika ia boleh mengelak dari kawalan-kawalan ini, kecenderungan tabi’e kepercayaannya akan mendorongnya untuk menjadi zalim, tidak amanah, kejam dan ganas. Ia mudah dibawa oleh perasaan untuk mementingkan diri sendiri, menjadi seorang materialis dan seorang yang bertindak menurut edaran masa. Memuaskan nafsu dan keperluan kebinatangan akan menjadi matlamat utama kehidupannya. Perkara-perkara yang berfaedah kepadanya dalam pandangannya hanyalah perkara-perkara yang berfaedah kepadanya dalam pencapaian matlamat hidupnya itu tadi. Adalah tabi’e dan
logik bahawasanya mereka-mereka yang berpegang kepada dogma ini akan berkelakuan dan mempunyai keperibadian sedemikian rupa. Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal bahawa kemungkinan wujud individu yang mempunyai sifat-sifat seperti simpati dan tidak mementingkan diri sendiri hasil dari pandangannya yang jauh terhadap masa depannya dan juga sifat expedient yang dipunyainya. Ia mungkin bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam mencapai kebajikan nasional dan kemajuan. Ia mungkin secara keseluruhannya mempamerkan sedikit perasaan tanggungjawab dan hormat terhadap prinsip-prinsip moral. Tetapi jika dikaji secara mendalam terhadap akhlaqnya, anda akan mendapati bahawa setiap “kebaikan” yang kelihatan itu adalah lanjutan dari motif-motif yang mementingkan diri sendiri dan hawa nafsunya. Ia melihat kesejahteraan dan kebaikan tanahair atau negaranya dari kacamata peribadi semata-mata. Ia mencari kebaikan dan kesejahteraan untuk dirinya melalui pembaikan tanahair dan negaranya. Oleh yang demikian, mereka hanya boleh digelar sebagai seorang nasionalis sahaja.

Ciri-ciri masyarakat yang didirikan di atas akhlaq ini.

Ciri-ciri yang menonjol bagi sesuatu masyarakat yang dibentuk oleh individu-individu yang mempunyai akhlaq dan keperibadian yang telah disebutkan itu adalah seperti berikut:

Prinsip asas dalam siasah ialah bahawasanya hak wewinangan menentukan sesuatu itu (sovereignty) diberi kepada beberapa orang manusia, individu, suatu keluarga, suatu kelas atau kepada orang awam. Ideal kolektif yang paling luhur yang dianggap dapat dilakukan ialah dengan membentuk suatu komenwel. Negara ini akan diperintah oleh undang-undang buatan manusia. Setiap undang-undang akan dibuat atau dipinda menurut nafsu dan pengalaman-penglaman manusia. Polisi-polisi juga akan dirumus dan diubah mengikut kemahuan atau faedah peribadi. Dalam negara ini, mereka-mereka yang kuat dan melebihi yang lain dari segi kecerdasan, kepintaran menipu, berdusta, khianat, sikap tak ambil peduli dan kekejaman akan meningkat melalui kekuatan. Pimpinan masyarakat dan tampuk kekuasaan akan berada di
dalam tangan manusia-manusia seperti ini. Di dalam perlembagaan mereka akan termaktub prinsip: “Kekuatan itulah yang benar dan yang lemah itu sentiasa salah.”

Keseluruhan binaan masyarakat dan peradabannya akan didirikan di atas dasar mementingkan diri sendiri. Pembenaran (pemissiveness) dalam soal memenuhi nafsu syahwat seseorang akan bertambah serta meningkat, dan ukuran moralnya akan dibentuk supaya kebebasan sepenuhnya untuk memenuhi nafsu syahawat terjamin untuk semua orang. Seni budaya dan sastera akan dipengaruhi oleh falsafah hidup ini yang mana lama kelamaan akan menjurus kepada kelucahan dan aliran-aliran pomografi.

Dalam bidang ekonomi pula, kadang-kadang kaum pekerja akan menubuhkan kerajaan diktator proletariat melalui cara kekerasan. Walau bagaimanapun, keadilan tidak akan menjadi sebahagian daripada sistem-sistem ekonomi ini. Akhlaq setiap individu dalam masyarakat ini akan ditetapkan oleh pegangan asasnya yang mengatakan bahawa dunia ini dan segala kejayaan yang ada di dalamnya merupakan suatu hasil rampasan perang (booty) dan setiap manusia bebas untuk mengambil semahunya dan bila masa peluang itu wujud. Sistem pendidikan yang dirangka untuk melatih serta mendidik ahli-ahli masyarakat ini akan didasarkan kepada falsafah hidup ini dan mencerminkan sikap yang sama. Sistem pendidikan ini akan menerapkan di dalam generasi selanjutnya tentang pandangan yang sama terhadap dunia dan kedudukan
manusia di dalamnya yang telah diterangkan sebelum ini. Dalam setiap bidang ilmu pengetahuan maklumat serta penerangan akan disusun dan disampaikan secara sistematik untuk menanamkan di dalam pemikiran generasi baru tentang teori-teori kehidupan yang sama. Keseluruhan program latihan akan direkabentuk untuk melahirkan individu-individu yang mengambil sikap yang sama dalam kehidupan, dan akan diserapkan sepenuhnya ke dalam masyarakat ini. Saya tidak perlu berkata lebih panjang kepada anda tentang ciri-ciri sistem pendidikan jenis ini kerana anda sendiri pernah melalui sistem tersebut. Anda sedang belajar di institusi-institusi yang telah ditubuhkan di bawah sistem yang sama, sungguhpun mereka mempunyai nama-nama seperti ‘Kolej Islamiah’ atau ‘Universiti Muslim’ dan sebagainya.

Sikap dan pemikiran yang telah saya analisiskan itu muncul daripada sikap jahiliah setulen-tulennya. Sikap dan pemikiran ini sama dengan keadaan pemikiran seorang kanak-kanak yang bergantung semata-mata kepada pandangan inderanya dan menganggap api itu sebagai mainan yang menarik. Walau bagaimanapun, di sana terdapat suatu perbezaan. Ketidakbenaran pandangan kanak-kanak itu tadi akan jelas terbukti melalui pengalaman. Api yang dianggap oleh kanak-kanak itu sebagai barang mainan merupakan suatu bahan yang panas. Oleh itu apabila dia menyentuhnya dengan tangan, akan ketaralah bahawa api itu bukan barang mainan. Di sebaliknya pula, dalam kes yang sebelum ini, pandangan yang salah itu hanya menjadi ketara selepas berlalunya waktu yang panjang. Sesungguhnya kebanyakan manusia akan berada dalam kejahilan terhadap kesilapan pandangan dan penglihatannya. ‘Api’ yang dipegang oleh mereka ini mempunyai kepanasan yang rendah. Ia tidak terbakar dengan serta merta. Ia terus membakar berabad-abad lamanya.
Walau bagaimanapun jika seseorang itu berhasrat untuk belajar dari pengalaman-pengalaman hariannya ia patut memikirkan kembali bahawa disebabkan gaya berfikir beginilah, individu-individu sering melakukan penipuan, pemerintah-pemerintah melakukan penindasan dan kezaliman, hakim-hakim berlaku tidak adil, yang kaya menginginkan hak-hak orang lain, dan orang-orang biasa menjadi sesat. Sesungguhnya pengalaman hariannya yang sedemikian rupa, banyak pengajarannya. Lebih dasyat lagi ialah pengalaman-pengalaman seperti api-api nasionalisma, materialisma, peperangan yang membara dan konfrantasi, serangan-serangan serta kejadian-kejadian hebat dan keterlaluan yang timbul dan gaya berfikir yang sama, yang mungkin memaksanya untuk membuat kesimpulan bahawa gaya berfikir ini didasarkan kepada jahiliah daripada didasarkan kepada pengetahuan yang sebenar tentang Al Haq (kebenaran). Pandangan manusia terhadap sistem alam dan kedudukannya dalam alam yang didasarkan di atas dogma jahiliah ini tidak selaras dengan Al Haq, sebagaimana terbukti jelas dengan natijah-natijah dahsyat yang lahir darinya.

ISLAM DAN JAHILIAH
OLEH:
ABUL A’LA MAUDUDI

No comments:

Post a Comment