Friday, April 9, 2010
KELEMAHAN DALIL MEMBACA QUR’AN DI KUBURAN.
Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus ( akob73 )
Sumber: http://akob73.blogspot.com/
( Artikel ini pernah disiarkan oleh Majalah i )
Jumhur (majoriti) para ulamak bersetuju bahawa ziarah kubur merupakan satu amalan yang sunnah kerana ianya telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sebuah hadis sahih:
“…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kepada kematian.” - Hadis riwayat Imam Muslim
Begitu juga telah jelas bagi para ulamak bahawa disunnahkan untuk memberi salam serta mendoakan kesejahteraan kepada jenazah ketika menziarah kubur. Aisyah r.a berkata:
“Bahawasanya Nabi s.a.w. pernah keluar ke Baqi’ (tempat pemakaman kaum Muslimin), lalu baginda mendoakan mereka.” Kemudian ‘Aisyah bertanya tentang hal itu, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diperintah untuk mendoakan mereka.” – Hadis riwayat Imam Ahmad
Di antara doa-doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ. أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.
“Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian.” - Hadis riwayat Imam Muslim
السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ.
“Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari kami dan insya Allah kami akan menyusul.” – Hadis riwayat Imam Muslim
Namun begitu para ulamak telah berselisih pendapat tentang hukum membaca al-Qur’an di kuburan untuk mensedekahkan pahalanya kepada penghuni kubur tersebut. Yang lebih menepati pandangan Imam al-Syafi’i r.h adalah kiriman pahala tersebut tidak sampai dan beliau berhujah dengan firman Allah S.W.T. :
(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. - Al-Najm : 38-39
Telah berkata al-Hafidz Ibnu Kathir r.h di dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-Adzim ketika mentafsirkan ayat di atas:
“Iaitu sebagaimana seseorang tidak akan memikul dosa orang lain demikian juga seseorang tidak akan memperolehi ganjaran (pahala) kecuali apa-apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini Imam al-Syafi’i bersama para ulamak yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hadiah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha mereka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengsyari’atkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada yang telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya atau memberikan petunjuk kepada mereka baik dengan nash (dalil yang jelas lagi terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah dinukilkan dari seorangpun sahabat (bahawa mereka pernah mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan itu baik tentu para sahabat telah mendahului kita mengamalkannya. Dan di dalam masalah ibadah ianya hanya terbatas pada dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas atau pendapat-pendapat.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam Syarah Muslim (jilid 1, ms. 90) telah berkata: Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya ialah firman Allah: “bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” Dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi. Imam Muzani r.h di Hamish al-Umm telah berkata: “Rasulullah s.a.w. memberitahukan sebagaimana yang diberitakan Allah, bahawa dosa seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya amalnya adalah untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain dan tidak dapat dikirimkan kepada orang lain.” – Rujuk tepi al-Umm, al-Syafi’i, jilid 7, ms. 269 Al-Haitami r.h pula berkata: “Si mati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak daripada ulamak mutaqaddimin (terdahulu) bahawa bacaan (yang pahalanya ingin dikirimkan) adalah tidak sampai kepadanya, sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedang pahala hasil amalan tidak dapat dipindahkan dari yang mengamalkan perbuatan itu berdasarkan firman Allah: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” – rujuk al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah, jilid 2, ms. 9
Imam al-Khazin r.h di dalam tafsirnya mengatakan sebagai berikut: “Dan yang masyhur dalam mazhab Syafi’i bahawa pahala bacaan al-Qur’an adalah tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim.” – rujuk al-Jamal, jilid 4, ms. 236
Tambahan pula membaca al-Qur'an di kawasan perkuburan menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w., karena baginda menyuruh kita membaca al-Qur'an di rumah: Sabdanya: “Janganlah kalian jadikan rumah kalian seperti kuburan, karena sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surat al-Baqarah.” - Hadis riwayat Imam Muslim
Hadis ini menunjukkan bahawa bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk membaca al-Qur'an sebagaimana di rumah. Menerusi hadis ini juga kita dapat fahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang tidak dibaca al-Qur'an. Jumhur ulamak salaf seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad dan imam-imam yang lain melarang membaca al-Qur’an di perkuburan.
Sebagai contoh Imam Abu Dawud r.h berkata dalam kitab Masaa’il Imam Ahmad (ms. 158): “Aku mendengar Imam Ahmad ketika beliau ditanya tentang baca al-Qur’an di pemakaman? Beliau menjawab: “Tidak Boleh” Menurut Ibnu Taimiyyah r.h : “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah. Imam Malik berkata: Tidak aku dapati seorang pun daripada para sahabat dan tabi’in yang melakukan hal itu. – rujuk Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim, ms. 380
Bagi para ulamak yang mendokong pendapat bahawa diharuskan membaca al-Qur’an di perkuburan mereka telah berhujah dengan beberapa hadis. Namun demikian hadis-hadis tersebut telah dikritik hebat oleh ulamak-ulamak hadis dan mereka telah melemahkannya bahkan ada juga di antaranya yang bertaraf mawdhu’ (palsu). Sebagai contoh mari kita melihat beberapa dalil-dalil yang sering digunakan.
HADIS PERTAMA:
“Barangsiapa yang menziarahi kuburan kedua orang tuanya setiap hari Jumaat, lalu membaca (surat Yasin) di sisi keduanya (di sisinya), nescaya diampuni baginya sebanyak bilangan setiap ayat atau huruf (yang dibacanya).
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Ady, Abu Nu’aim di dalam Akhbaar Ashfahaan, Abdul Ghani al-Maqdisi di dalam as-Sunan dari jalur Abu Mas’ud, Yazid bin Khalid (dia berkata), telah menceritakan kepada kami ‘Amr bin Ziyad (yang berkata), telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sulaim ath-Tha’ifi, daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada ayahnya (‘Urwah), daripada ‘Aisyah, daripada Abu Bakar ash-Shiddiq secara marfu’. Kelemahan hadis ini terletak kepada periwayatnya yang bernama ‘Amr bin Ziyad. Dia dituduh suka mencuri hadis daripada para periwayat yang tsiqat (terpercaya) dan memalsukan hadis. Di antara ulamak yang menyatakan demikian adalah Ibn ‘Ady dan al-Daraquthni. Oleh itu hadis ini darjatnya palsu (mawdhu’) – diringkaskan dari Silsilah al-Ahaadiits adh-Dha’iifah Wal Mawdhuu’ah karya Syaikh al-Albani, Jilid.1, no.50.
HADIS KEDUA:
Barangsiapa yang melalui kuburan, kemudian membaca surah al-Ikhlas sebelas kali, lalu di hadiahkan pahalanya kepada mayat, maka akan diberi balasan pahala sesuai jumlah jenazah yang ada di perkuburan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Khallal dan al-Dailami.
Namun demikian perawi yang terdapat dalam sanad hadis ini telah dikritik oleh al-Dzahabi, al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu Iraq dan menurut Syaikh al-Albani hadis ini batil bahkan mawdhu’ (palsu). – Diringkaskan dari Ahkaamul Janaa’iz wa Bida’uha oleh Syaikh al-Albani.
HADIS KETIGA:
Barangsiapa yang berziarah di kuburan kemudian dia membaca al-Fatihah, Qul Huwallahu Ahad dan Alhakumut takasur lalu dia berdoa. "Ya Allah, ku hadiahkan pahala pembacaan Firman-Mu pada kaum Mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Qasim Sa’id bin Ali al-Zanjani dalam kitab Fawa’idnya. al-Mubarakfuri telah mengemukakannya ketika membanding hujah-hujah pendapat yang berkata boleh membaca al-Qur’an di kubur dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur. Setelah mengemukakan hadis ini dan dua yang lain (satu darinya ialah Hadis Kedua di atas), beliau menukil pendapat al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid al-Maqdisi yang menerangkan bahawa hadis-hadis dalam bab ini semuanya lemah, akan tetapi boleh dihimpunkan untuk dijadikan dalil bahawa amalan sedemikian memiliki dasar dalam agama.
Namun pendapat al-Hafiz Syamsuddin ini dikritik oleh al-Mubarakfuri. Beliau menegaskan, tidak semua hadis yang lemah apabila dihimpun dapat dijadikan dalil bahawa amalan tersebut memiliki dasar dalam agama. Untuk mengatakan sesuatu amalan itu memiliki dasar, seseorang itu hendaklah mengemukakan dalil dengan sanad yang sahih. – diringkaskan dari Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi oleh al-Mubarakfuri, jilid. 3, ms. 275
Apa pun jua hadis ini sebenarnya tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadis utama dan al-Mubarakfuri juga menukilnya tanpa sanad. Ini menunjukkan betapa terpencilnya hadis ini disisi para ulamak hadis.
HADIS KEEMPAT
Bacakanlah surah Yasin untuk orang-orang yang akan mati (mautaakum) di antara kamu.
Hadis ini diriwayat Imam Abu Dawud, Ibnu Majah dan juga Imam Ahmad dari jalur Sulaiman al-Taimi, daripada Abu ‘Utsman, daripada Ayahnya, daripada Ma’qil bin Yasar. Lafaz ini adalah daripada kitab Sunan Abu Dawud. Status hadis ini sebenarnya masih diperbincangkan oleh para ulamak hadis. Namun apa yang lebih tepat status hadis ini adalah dha’if (lemah). Menurut al-Dzahabi, Ibnul Madini, Ibnul Mundzir, Ibnul Qaththan dan al-Nawawi, Abu ‘Utsman adalah seorang yang majhul (tidak dikenali). Manakalanya ayahnya juga dianggap majhul oleh Ibnul Mundzir, Ibnul Qaththan dan al-Nawawi.
Sekiranya hadis ini sahih sekalipun, mautaakum bukan bermaksud orang yang sudah mati tetapi orang yang hampir mati. Perhatikanlah sabda Rasulullah s.a.w. ini:
Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang akan / hampir mati (mautaakum) di antara kamu La ilaaha illallahu. - Hadis riwayat Imam Muslim
Apa yang diperintah oleh Nabi s.a.w. di atas adalah untuk mengajar orang yang sedang menghadapi maut bacaan La ilaaha illallah.
Masih terdapat beberapa lagi hadis-hadis yang digunakan oleh golongan yang membenarkan pembacaan al-Qur’an di kuburan. Hanya sahaja hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kritikan oleh para ulamak hadis. Telah sepakat oleh para ulamak bahawa hadis-hadis dha’if (lemah) dan mawdhu’ (palsu) tidak boleh dijadikan hujah untuk perkara-perkara berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (seperti mewajibkan mahupun menetapkan hukum sunat terhadap sesuatu amal). Hanya sahaja para ulamak berbeza pendapat tentang kebolehan mempergunakan hadis dha’if (lemah) dengan syarat-syarat yang ketat untuk bab fadilat amal atau targhib dan tarhib. Apa pun jua perbincangan tentang hukum membaca al-Qur’an di kuburan tidak termasuk dalam bab fadilat amal mahupun targhib dan tarhib maka hadis dha’if tidak boleh dijadikan hujah. Dari sini dapat kita rumuskan bahawa amalan yang lebih menepati sunnah Rasulullah s.a.w. ketika menziarah kuburan hanyalah memberi salam dan mendoakan kesejahteraan mayat di perkuburan tersebut. Inilah amalan yang benar-benar sah daripada Rasulullah s.a.w. Oleh itu ziarahlah kubur kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada kematian tetapi hindarkanlah diri dari melakukan amalan-amalan bidaah di perkuburan dan janganlah mengkhususkan hari perayaan yang tertentu untuk menziarah kubur sebagaimana yang diamalkan oleh penganut agama-agama lain. Harus juga kita fahami bahawa al-Qur’an ini diturunkan bertujuan untuk memberi peringatan bagi mereka yang hidup. Firman Allah S.W.T.:
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” – Shaad : 29 Di dalam surah Yasin yang sering dibacakan di kuburan juga terdapat firman-Nya:
“Supaya ia (al-Qur’an) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup…” - Yasin : 70
Telah berkata Abdul Hakim bin Amir Abdat:
“Allah S.W.T. menyatakan dengan tegas bahwa al-Qur’an ini menjadi peringatan untuk orang-orang yang hidup, dan ayat ini terdapat di dalam surah Yasin. Sedangkan saudara-saudara kita membacakan surah Yasin ini di hadapan orang-orang yang mati. Subhanallah! Kejahilan apakah ini namanya?” - al-Masaa-il : Masalah-Masalah Agama, jilid 1, ms. 302
Penulis juga ingin mengingatkan kepada semua pihak supaya menghindarkan diri dari menyebarkan hadis-hadis palsu kerana ianya termasuk dalam perbuatan berdusta di atas nama Rasulullah s.a.w. Perbuatan yang keji ini telah diberikan amaran yang keras oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Menurut Imam al-Thahawi r.h di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms.176): “Barangsiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w. atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w. dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w. dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w. dengan cara yang batil. Dan orang yang telah menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.:
“Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment