Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Friday, August 12, 2011

Cerpen: Hati Kanvas

(sambungan)

"Saudaraku dalam iman. Persaudaraan umat Islam itu amat penting umpama sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya sakit maka keseluruhan anggota akan merasa kesakitannya. Kerana itu, manusia tidak boleh hidup bersedirian melainkan telah menemui Tuhannya. Lihat sajalah seekor biri-biri, apabila ianya seekor maka dengan mudah Sang Serigala akan membahamnya namun apabila banyak, Sang Serigala tidak akan mampu menyerangnya. Walaupun kelihatan serigala lebih kuat berbanding sang biri-biri tadi"

"Saudaraku dalam iman. Tidakkah kita pernah merasa tersentuh dengan penderitan yang dialami oleh saudara seIslam kita sekarang. Mereka menjadi bahan ujian benda-benda berbahaya. Mereka dicincang, dibunuh hatta dipenjara dan disisksa, tapi kita di sini masih mampu menggoyangkan kaki, makan dengan selera, mampu berbelanja semahu-mahunya dan bergembira sepanjang masa. Tidakkah kita pernah terfikir akan penderitaan itu sebenarnya adalah tempias daripada kesilapan kita. Tidakkah kita pernah terfiir yang mereka juga inginkan kehidupan seperti kita. Dan ingatlah pesan RasulNya: Tidak beriman di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperi mana dia mencintai dirinya sendiri"

Nase terpinga-pinga sekali lagi. Tidak mungkin kanvas ini yang bersuara dan mengeluarkan bunyi yang menyentuh hatinya itu. Mungkinkah pokok itu? atau tasik itu? ataupun burung-burung yang berterbangan itu? Tapi mana mungkin semuanya itu boleh mengeluarkan suara sedemikian rupa. Nase menjadi takut tiba-tiba. Ketakutan yang diumpamakan sepucuk pistol diacukan ke arah kepalanya yang akan meledak bila-bila masa sahaja. Ketakutan yang mengakibatkan segala yang ada disekelilingnya tidak lagi menjadi kedamaian hatinya. Tiada lagi nyamannya tiupan angin yang sepoi-sepoi itu. Tiada lagi kesegaran udara yang menyelubungi persekitaran itu. Hanyasanya yang tinggal hanyalah bunyian jengkerik yang pandai bersembunyi tetapi tidak pandai menutup mulutnya. Nyaring dan menjengkelkan. Kerana bunyian-bunyian itu umpama mengejek dan menghina kehidupannya.

"Ah, sudahlah! Mungkin ini hanyalah mainan hatiku. Apa yang penting lukisan ini perlu ku siapkan sebelum pukul 8.00 pagi esok". Nase meneruskan semula gerakan jemarinya itu. Baginya esok adalah penentu hari keseniannya. Tapi, jari-jemarinya itu tidak ingin memainkan peranannya lagi. Kenapa? Adakah jejari yang lima itu juga ingin memulaukan kerja yang tertangguh seminggu itu? Ataupun hatinya yang belum mahu menerima kenyataan? Ataupun gangguan si Rie itukah puncanya?

"Mungkin aku perlu berehat seketika?" bingkas otaknya memikirkan jalan penyelesaian. Nase berjalan-jalan mengelilingi lukisan kanvasnya itu dengan ayunan kaki yang teramat longlai. Diambilnya sedikit warna hitam, ditekapnya di tengah-tengah kanvas itu menggunakan ibu jari. Pelik tapi menarik. Menarik kerana kejengkelan pada hati-hati manusia yang telah menjadi hitam tak bercahaya. Hitam dan calar-calar di sekelilingnya seperti corak yang indah di sebalik ibu jarinya. Dia berjalan lagi. Serasa ada sesuatu yang ganjil. Sungguh pelik dan ajaib. Di mana silapnya. Tiadapun yang ganjil pada kanvas itu. Hatta warna itupun tiada yang cacat celanya. Jadi dimanakah silap dan ganjil itu? Pelik lagi Pelik.

Lama juga Nase memikirkannya. Jam di dinding telah menunjukkan pukul 5 petang. Entah apa yang sedang berkecamuk di kotak mindanya sehinggakan solat Asar pun dilengah-lengahkan. Mungkinkah lantaran lukisan pelik itu yang penuh dengan lagak emosi dan nafsu kesombongan. Penuh dengan curahan isi hatinya yang selama ini terpedam di dasar tasik itu. Walaupun kelihatan airnya tenang, kocakan yang tidak seberapa akibat tiupan angin sopan namun di dalamnya penuh dengan rumpair yang berduri lagi kemerahan dan berlendir. Berbau hapak lagi membusuk. Walaupun penjuru sebelah kanan atasnya itu penuh dengan bunga-bunga yang indah, harum semerbak mewangi namun semakin hari layu satu persatu. Apa yang tinggal hanyalah rangi-rangi yang tidak berharga lagi. Tiada sesiapapun yang akan menyelami ketenangan airnya itu. Hanya dialah seorang diri, tanpa teman pengubat sepi.

(bersambung)

Cerpen: Hati Kanvas

(sambungan)
Nase meneruskan kerjanya. Dentuman-dentuman air hujan, cakaran-cakaran kuku besi dan deruan nyaring bersama larian kekura mempercepatkan lagi gerakan jejarinya. Kali ini bakul sampah yang sentiasa bersamanya tidak lagi menjadi sarang tebuan. Kali ini bakul sampahnya itu bersama-sama meratapi kesyahduan menggila dalam benaknya. Tiada lagi kedengaran laungan-laungan pilihan raya yang selalu bermain di benak fikirannya. Tiada lagi gelak ketawa anak-anak muda lagi mudi tanpa seurat benang menghantui kotak fikirannya dan tiada lagi jejari tangannya itu berhenti dari mengukir kanvasnya. Kini, kanvas itu semakin ligat diwarnai dengan himpunan berwarna dan lima jari itu tidak mahu ketinggalan daripada menjadi bahana kekotoran warna-warnanya. Biarlah warna-warna itu menjadi tanda ketidakfahamannya.

"Saudaraku dalam iman. Dunia ini hanyalah sebuah tempat persinggahan sementara. Di dalamnya dipenuhi dua jenis manusia. Orang yang pertama adalah orang yang berpegang kepada Al-haq dan yang satunya lagi merupakan orang yang berpegang kepada Al-batil. Adapun orang yang pertama tadi, adalah manusia yang hidupnya penuh dengan Nur cahaya, yang terang benderang lagi indah berkelipan. Manakala yang keduanya pula dipenuhi dengan kegelapan umpama melihat seekor semut hitam di dalam lubang yang gelap di waktu malam. Orang yang pertama menjadikan ketaatannya hanya kepada Alloh dan RasulNya namun orang kedua hanya menjadikan syaitan dan kuncu-kuncunya; sebagai idola hidupnya. Untuk menjadi orang yang memegang Al-haq itu bukannya mudah berbanding Al-batil kerana manusia yang hanya menurutkan hawa dan nafsunya dengan mudah menjadi sasaran Al-batil itu".

Nase berhenti seketika apabila kotak mindanya tiba-tiba diganggu oleh kata-kata itu. Dari manakah datangnya suara itu. Setahunya, tiada pun kelihatan surau atau masjid berdekatan dengannya. Hatta rumah setinggan pun tidak kelihatan batang hidungnya. Hanyasanya dia ditemankan oleh pohon-pohon renek dan rumput-rumut rumpai yang berlatarkan pandangan indah sang tasik yang menghijau lagi jernih.

"Adakah aku bermimpi?" bisik hati kecilnya. Kini otak mindanya begitu ligat berfungsi sehinggakan impuls yang dibawa oleh beberapa saraf dalam tubuhnya menuju saraf tunjang pun tidak mampu memtafsirnya. Namun Nase meneruskan juga gerak geri jari jemarinya. Ligat dan pantas pergerakannya.

"Redupnya lukisan ini!"

Entahlah. Seredup-redup lukisan itu, redup lagi hati kecilnya itu. Ingin sahaja dititiskan air matanya dan meraung sekuat-kuatnya. Kenapalah manusia yang tidak berdoa itu menjadi mangsa kekejaman manusia yang lainnnya. Kenapa bukan dirinya yang dijadikan sasaran kekejaman itu. Sekurang-kurangnya dia boleh mempertahankan haknya sebagai penghuni dunia seperti mereka.

Nase berhenti daripada melukis. Baginya, seni yang mengalir dalam darahnya tidak lagi berharga. Jari jemarinya mula malas dan tidak berupaya meneruskan lukisan itu. Hatinya semakin sebak. Dia mula terkenangkan kisah silamnya. Dia diberi makanan basi sebagai sarapan paginya dan menjadi hamba abdi di sebelah petangnya sekembali dari sekolah. Tapi, itu hanya perkara kecil; kerana dia masih boleh makan dan masih boleh bersekolah. Tapi, mereka! Tiada seorang pun yang memperdulikannya. Samalah seperti mana dia tidak diperdulikan di bawah jambatan usang bersama sehelai kain sarung sahaja. Kalau sekadar berunding di meja bulat, di bilik berhawa dingin, berbumbung, berkerusi empuk dan dijamahkan dengan makanan-makanan yang lazat, takkan mungkin dapat menyelesaikan keperitan yang mereka alami itu. Mereka bukannya inginkan rundingan, tapi mereka inginkan bantuan dan keadilan. Bantuan yang berbentuk besi. Besi yang boleh melayang seperti mana musuh mereka gunakan. Bantuan yang boleh membela titisan merah yang tertumpah tanpa diminta dan bantuan yang mampu menagih hutang-hutang yang tidak terbayar dan sengaja dilupakan. Lihatlah resam angsa, seekor dikacau maka yang lain bingkas bangun mengejar dan menentang. Walaupun dia tahu lawannya bukan calang-calang kehebatannya. Kalau sekadar rundingan, takkan mungkin dapat membentuk keadilan; kerana rundingan itu lebih dikuasai oleh penentang-penentang kedamaian. Dan dengan rundingan itulah, anak-anak yatim piatu, janda-janda dan orang yang berkerut di dahinya semakin bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dan dalam suasana itulah, hati Nase bagaikan memberontak. Ingin sahaja dikoyakkannya lukisan di hadapannya. Ingin sahaja diconteng-contengnya karya yang baru itu biar menjadi puntungan-puntungan rokok yang telah dilenyek-lenyek oleh kaki-kaki gajah.

(bersambung)

Tuesday, August 9, 2011

Cerpen: Hati Kanvas

Ruang segiempat dalam pandangan tiga dimensi itu terasa sunyi dan sempit. Setiap penjurunya bagaikan bergerak perlahan-lahan menuju ke titik pusat. Kecil dan semakin kecil. Gerakan itu bagaikan menghimpitkan lima batang jejari kanan yang sedang ligat menconteng di tengah-tengah titik pusat ruang segiempat itu. Kelihatan di tengah-tengah itu bagaikan ada orang yang tidak siuman. Mula-mula jejari telunjuk. Disusuli pula jari hantu, jari kelingking, jari tengah dan akhirnya ibu jari yang sudah separuh kudung. Gayanya umpama manusia yang penuh dengan kevarisian yang tiada samanya dengan orang lain. Tiadapun kelihatan di tangan kanan itu sebatang pen ataupun sebatang berus. Hanyasanya lima jejari itulah yang ada; yang saat demi saat dihimpit oleh pepenjuru segiempat itu. Dan begitulah jua lumrah hidupnya. Hidup umpama musafir yang semakin dipinggirkan. Kalau tidakpun umpama seniman jalanan yang tidak bernama.

Dalam ruang segiempat itu jugalah, sejengkal demi sejengkal kakinya mula bergerak-gerak; menolak himpitan pepenjuru itu. Entah apa yang difikirkannya. Mungkinkah dia memikirkan bahawa dia akan selamat. Selamat dengan kota impiannya. Kota yang hanya ditinggali oleh margastua-margastua yang semakin tua dan pupus. Kota yang hanya ditinggali oleh pepohon renek yang tinggal reranting kurus dan dedahan rapuh. Dan mungkinkah dia memikirkan bahawa kota impian itulah yang mencetuskan kontroversi dengan aliran darah-darah suci yang harum semerbak dari titisan-titisan kulit yang dihiris rerumput semalu tinggi dan tajam. Dan setinggi manapun semalu di kota impian itu... dalam ingatannya hanya satu; Lawan tetap lawan, jangan undur ke belakang, agar perjuangan menegakkan keadilan tertunai dengan nilai yang tidak mampu dihitung oleh wang ringgit. Biar pun dirinya dihimpit oleh pepenjuru segiempat itu.

Dia masih lagi terngiang-ngiang jeritan sayu si anak-anak kecil, balu-balu dan si janda-janda berkerut di dahi; merintih... takut... meraung... sedih... geram... dengan suara tersekat di kerongkong. Di depan mata mereka melayang-layang besi-besi kecil lagi tajam yang boleh menembusi tempurung kepala mereka. Bukan satu tempurung sahaja, bahkan dua tiga tempurung pun akan disentuhnya. Ketika itu air mata darah sekalipun tidak mampu menjawab persoalan yang bermain di benak fikirannya. Hanya dakwat merah saja yang menjadi latar kehidupannya. Dan hanya tubuh-tubuh bogel saja yang menjadi tanah dan dataran tepatnya berpijak.

Dia menangis apabila mengenangkan kisah itu. Dan di kota impian itulah terjawab segala-galanya. Kesedihan, kekesalan, keperitan dan kedukaan tersimpan di kota itu jugalah. Duka seorang hamba yang terlupa asal usulnya. Duka yang sekadar menjadi pemerhati dunia. Dia menangis dan terus mengesatnya. Dan air mata itulah menjadi teman hidupnya. Tapi apakan daya; kalau bukan minggu ini, minggu depan... kalau bukan bulan ini, bulan depan... kalau bukan tahun ini, tahun depan... perjuangan dan hidup ini mesti diteruskan.

"Hai, Nase! Sehari suntuk kau melukis. Apa yang kau lukiskan?"
"Abstrak!"
"Abstrak?"
"Biasalah Rie... Kalau dah hobi, nak buat macam mana?"
"Kalau iyapun... Solat Zohor dah ke belum?"
"Astaghfirullah...Belum!". Nase bingkas bangun dari kerusi buruk di tengah-tengah pepenjuru segiempat itu. Rie hanya menggelengkan kepalanya. Rie masih teringat akan pesanan rakannya itu. "Hobi... Hobi juga, pasal solat; jangan sampai tinggal. Jangan sampai dunia diuruskan hinggakan akhirat diabaikan. Bila dunia dah menjadi rebutan, maka akhirat akan menjauhkan kita. Bukan lantaran akhirat itu menjauhkan dirinya, hanyasanya kitalah yang menjauhkan diri dari beramal untuk menuju akhirat itu. Kata orang; cinta dunia dan takutkan mati"

"Rie!!! Apa yang tenungkan itu? Lukisan itu belum siap lagi"
"Nase, lain benarlah lukisan kamu ini. Tak sama dengan yang lain. Lukisan ini macam penuh dengan emosi. Warna merah menyelubungi latar, warna coklat terputus-putus menjadi tapaknya. Tak fahamlah?"
"Rie... Rie... Sejauhmanapun ketidakfahaman kamu itu, aku lagi tak faham mengapa aku melukis macam itu. Tangan ini sajalah yang faham akan isinya"
"Lain benarlah huraiannya. Tak macam selalu. Rasanya... inilah satu-satunya lukisan yang tak terjawab bila ku tanya. Takkan rahsia kot?"
"Rie... Rie... Rasanya kau takkan faham. Walaupun angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa iu mampu menggoyangkan dedaunan kelapa dan kita mampu menyaksikan lambaian-lambaian indah, kau takkan mungkin faham. Hatta aku sendiri pun takkan faham"
"Jika begitulah ceritanya, sampai kiamat pun aku takkan faham. Jadi... macam mana aku bisa memahaminya dong?"
"Kalau kau nak faham juga, siapakah sebenarnya yang paling malang di dunia?"
"Mereka dan keluarga merekalah"
"Rie!... Rie!..." Nase menggelengkan kepala.
Gelengan yang paling menjengkelkan nalurinya. Kerana gurauan semacam itulah, anak-anak kecil yang masih bayi itu kehilangan kedua orang tuanya. Dan kerana gurauan begitulah, akhirnya tubuh badan mereka tidak mempunyai harga lagi. Bahkan lebih jijik seperti sampah yang kian berulat lagi berbau busuk.

(bersambung)