Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Thursday, August 29, 2013

Seindah kata-kata

Kata-kata hikmat Almarhum Syeikh al-Tantawi

لايلزم أن تكون وسيما لتكون جميل
Kau tidak perlu berwajah cantik untuk dikatakan sebagai seorang yang cantik

ولا مداحا لتكون محبوبا
Dan tidak perlu memuji-muji kerana mahu menjadi seorang yang disukai

ولا غنيا لتكون سعيدا
Tidak perlu menjadi kaya untuk menjadi seorang yang bahagia

يكفي أن ترضي ربك وهو سيجعلك عند الناس جميلا و محبوبا و سعيدا
Cukuplah dengan membuatkan Tuhanmu redha dan kasih kepadamu, pasti Dia akan menjadikanmu cantik dan indah di mata manusia, disukai dan disenangi oleh semua, serta hidup bahagia

لو أصبت 99 وأخطأت مرة واحدة
Andai kau lakukan 99 kebaikan, tetapi terbuat silap sekali

لعاتبوك بالواحدة وتركوا ال 99
Manusia akan menyalahkanmu dengan kesilapan yang satu itu, dan melupakan semua 99 kebaikan yang lain

هؤلاء هم البشر !
Itulah hakikat manusia!

و لو أخطأت 99 مرة وأصبت مرة
Tetapi andainya kau lakukan 99 kesilapan, dan cuma sekali melakukan perkara kebaikan

لـغفر الله ال 99 وقبل الواحدة
Allah akan ampun semua 99 kesilapanmu dan menerima amal baktimu yang satu itu

ذاك هو ربي
Itulah Dia Tuhanku!

Friday, January 27, 2012

Bagaimana Menghafal Al-Quran?

Saya bukanlah dalam kalangan insan yang bagus hafalannya. Namun dalam hati ini tidak pernah lekang rasa ingin menghafal ayat-ayat al-Quran supaya hafalan ayat-ayat al-Quran yang banyak itu, dapatlah mencontohi Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, para sahabat Baginda, tabi`in, tabi`ut tabi`in dan orang-orang yang soleh selepas mereka yang berdiri lama tatkala mereka mendirikan solat malam seorang diri kerana membaca kalam-kalam mulia dari ALLAH Jalla wa A`la. Semoga saya dan kalian semua dikurniakan keazaman, kesungguhan dan dijauhkan daripada sifat malas dan putus asa.

Daripada penerangan Sheikh Wahid Abdus-Salam Bali (semoga beliau dipelihara ALLAH) melalui sesawang ini - http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=c18G1aJmPq4#! -, dapat saya fahami bahawa cara untuk menghafal al-Quran untuk jangka masa panjang adalah seperti berikut:

1) Baca ayat dalam baris pertama sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf. Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.

(Mesti 10 kali. Jangan baca 2 kali, terus mahu mengulang. Cara ini salah. Ikut pesanan Sheikh dengan membacanya sebanyak 10 kali, barulah kemudiannya mengulang tanpa melihat mushaf, supaya ayat yang mahu dihafal melekat di dalam minda dan tahu kedudukan ayat tersebut di dalam mushaf.)

Jika ada masalah dengan perkataan tertentu, maka bacalah perkataan tersebut dengan satu perkataan sebelumnya dan satu perkataan selepasnya sebanyak 5 kali. Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.

2) Kemudian, bacalah ayat dalam baris kedua sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf. Selepas itu, ulangi ayat dalam baris kedua tanpa melihat mushaf.

3) Setelah ayat dalam baris pertama dan kedua dapat dihafal, bacalah kedua-dua ayat dalam baris pertama dan kedua tersebut dengan melihat mushaf pula sebanyak 3 kali. Selepas itu, ulanginya sebanyak 3 kali juga tanpa melihat mushaf.

4) Ulangi perbuatan di atas untuk ayat dalam baris ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sehingga habis satu muka surat.

Cara di atas adalah cara penghafalan jangka masa pendek. Dan hafalan boleh hilang dalam masa beberapa minggu.

Bagaimana untuk menukar penghafalan jangka pendek ini kepada penghafalan jangka panjang?

1) Ambil mushaf dan buka muka surat yang sudah dihafal itu. Baca muka surat tersebut sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf. Sebaik-baiknya semasa membaca, jari diletakkan di baris berkenaan.

Perbuatan begini, insyaALLAH akan melekatkan apa yang dihafal kuat di dalam minda. Anda tidak akan lupa, insyaALLAH. Segala puji bagi ALLAH. Kenapa?

Kerana apabila anda membacanya sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf, mata anda akan merakam muka surat tersebut dalam bentuk foto ke dalam minda. InsyaALLAH ia akan melekat kuat di dalam ingatan anda dan takkan melupakannya.