Sunday, January 31, 2010

JANGAN MAIN-MAIN SOAL AGAMA

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, berhala, mengundi nasib adalah perbuatan keji dari amalan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh kejayaan." Al-Maidah ayat 90.

(Al Azlaam artinya: anak panah yang belum pakai bulu. orang Arab Jahiliyah menggunakan anak panah yang belum pakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak. Caranya ialah: mereka ambil tiga buah anak panah yang belum pakai bulu. setelah ditulis masing-masing yaitu dengan: lakukanlah, Jangan lakukan, sedang yang ketiga tidak ditulis apa-apa, diletakkan dalam sebuah tempat dan disimpan dalam Ka'bah. bila mereka hendak melakukan sesuatu Maka mereka meminta supaya juru kunci ka'bah mengambil sebuah anak panah itu. Terserahlah nanti apakah mereka akan melakukan atau tidak melakukan sesuatu, sesuai dengan tulisan anak panah yang diambil itu. kalau yang terambil anak panah yang tidak ada tulisannya, Maka undian diulang sekali lagi.)

Ramai yang kata, saya hanya suka-suka, sekadar cuba-cuba. Dan ini diqiyaskan dengan 10 golongan yang dilaknat Rasulullah tentang Arak.

"Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan :
(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkan untuknya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantar,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya."
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah : Tirmidzi : Hadith Gharib : Al-Munziri dalam At-Targhib)

Ini bermakna bukan hanya orang minum, tapi juga yang membawanya juga dilaknat. Cara untuk menutup kuiz-kuiz ramalan mengarut yang berleluasa itu adalah dengan tidak terlibat langsung dengannya. Program itu hanya akan beroperasi bila dilawat, jika tidak pasti akan ditutup, mereka tidak akan beroperasi tanpa pelanggan.

Kaedah Usul Fiqhnya ialah Sadduz Zara'ie (menutup pintu2 kejahatan).

Friday, January 29, 2010

Puisi Nasihat

Di dalam hidup manusia,yang penting ialah BERKAT.
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat.
Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat.
Apabila Negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat,pembangunan pun meningkat.
Apabila pembangunan pun meningkat,kemajuan menjadi pesat.
TETAPI AWAS,
Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.
Di tengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat,
KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat.
Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat.
Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat,
tak dapat minum madu telan jer la minyak gamat.
Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.Tapi hidup pula yang melarat.
Tali kasut dah tak berikat.Rambut pun jarang sikat
Yang perempuan, pakai mini sekerat.Suka pakai baju ketat.
Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak yang singkat-singkat.
Kadang-kadang ternampak benda ' bulat ' .
Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.
Duduk jauh berkirim surat ..Bila berjumpa, tangan berjabat.
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat?
Kita ' bukti ' lah kita buat.Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat,
jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.
MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.
Inilah dia fenomena masyarakat.
Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat!
Berangkat menuju ke negeri akhirat.
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat.
Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?
Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?
Harta benda anta, dari mana anta dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manafaat...?
Semoga ianya dapat…
mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat
dan memperbanyakkan ibadat

(puisi milik seorang bekas penyanyi rock)

Thursday, January 28, 2010

Bilakah Rasulullah s.a.w Berhijrah Ke Madinah?

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.
Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1430H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1431H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.
Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba’ selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).
Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah[1]. Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.
Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya’la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy’ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.
Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh”.
Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:
“Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba’) sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.
Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalah sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

* Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

25 Pesanan Luqmanul Hakim


1.
Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
2.
orang - orang yg sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.
3.
Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
4.
Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
5.
Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
6.
Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
7.
Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
8.
Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengankat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
9.
Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yg bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
10.
Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
11.
Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
12.
janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
13.
Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
14.
Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
15.
Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
16.
Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.
17.
selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
18.
Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
19.
Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
20.
Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21.
Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
22.
Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
23.
Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
24.
Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
25.
Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Wednesday, January 27, 2010

Memahami Erti GHUROBA ...

Ghuroba....
Ghuroba...ibarat panah yang tidak dilepas pada dahi sesiapapun selain atas izin ALLAH
Ghuroba...telah kami pilih untuk menjadi motto hidup
Jika anda bertanya tentang kami maka kami tidak peduli terhadap segala bentuk tirani
Kami adalah prajurit biasa ALLAH, jalan kami adalah jalan dakwa

Ghuroba...
Kami tidak peduli terhadap ikatan rantai bahkan kami akan terus selamanya
Jadi kami berjihad, berperang dan berjuang dari awal
Ghuroba...adalah agar mereka bebas dari perbudakan dunia

Ghuroba...
Berapa kali kami diingatkan bahawa suatu waktu kami akan berjaya
Di dalam Kitab ALLAH yang kami lantunkan di pagi dan petang hari

Ghuroba....

Friday, January 15, 2010

Akhlaq yang berdasarkan kepada pengalaman indera semata-mata

Suatu natijah yang tidak dapat dielakkan hasil dari titik pandangan ini dalam kehidupan individu ialah bahawa keseluruhan ruang lingkup akhlaq manusia mestilah bebas dan kosong daripada sebarang perasaan tanggungjawab. Manusia akan menganggap dirinya sendiri sebagai yang berkuasa penuh ke atas badannya dan kekuatan-kekuatan fizikalnya. Oleh itu, ia akan menggunakan kekuatan-kekuatan fizikalnya dan kualiti-kualiti akal dan hatinya menurut kehendak nafsu dan ragamnya. Ia akan menganggap bahawa semua benda-benda dan seluruh manusia yang telah diletakkan di bawahnya secara kebetulan sebagai barang kepunyaannya dan dirinya sebagai tuan mereka. Hanya batasan-batasan undang-undang tabi’e dan had-had yang terpaksa dikenakan oleh kehidupan secara kolektif, yang meletakkan batasan terhadap kekuasaanya.

Dirinya sendiri akan kosong daripada apa-apa perasaan moral. Suatu perasaan bertanggungjawab dan takutkan penghisaban dan tidak ada kuasa moral yang akan mengawal tindakan kerasnya. Jika penahan-penahan luar ke atas tindakannya tidak ada atau jika ia boleh mengelak dari kawalan-kawalan ini, kecenderungan tabi’e kepercayaannya akan mendorongnya untuk menjadi zalim, tidak amanah, kejam dan ganas. Ia mudah dibawa oleh perasaan untuk mementingkan diri sendiri, menjadi seorang materialis dan seorang yang bertindak menurut edaran masa. Memuaskan nafsu dan keperluan kebinatangan akan menjadi matlamat utama kehidupannya. Perkara-perkara yang berfaedah kepadanya dalam pandangannya hanyalah perkara-perkara yang berfaedah kepadanya dalam pencapaian matlamat hidupnya itu tadi. Adalah tabi’e dan
logik bahawasanya mereka-mereka yang berpegang kepada dogma ini akan berkelakuan dan mempunyai keperibadian sedemikian rupa. Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal bahawa kemungkinan wujud individu yang mempunyai sifat-sifat seperti simpati dan tidak mementingkan diri sendiri hasil dari pandangannya yang jauh terhadap masa depannya dan juga sifat expedient yang dipunyainya. Ia mungkin bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam mencapai kebajikan nasional dan kemajuan. Ia mungkin secara keseluruhannya mempamerkan sedikit perasaan tanggungjawab dan hormat terhadap prinsip-prinsip moral. Tetapi jika dikaji secara mendalam terhadap akhlaqnya, anda akan mendapati bahawa setiap “kebaikan” yang kelihatan itu adalah lanjutan dari motif-motif yang mementingkan diri sendiri dan hawa nafsunya. Ia melihat kesejahteraan dan kebaikan tanahair atau negaranya dari kacamata peribadi semata-mata. Ia mencari kebaikan dan kesejahteraan untuk dirinya melalui pembaikan tanahair dan negaranya. Oleh yang demikian, mereka hanya boleh digelar sebagai seorang nasionalis sahaja.

Ciri-ciri masyarakat yang didirikan di atas akhlaq ini.

Ciri-ciri yang menonjol bagi sesuatu masyarakat yang dibentuk oleh individu-individu yang mempunyai akhlaq dan keperibadian yang telah disebutkan itu adalah seperti berikut:

Prinsip asas dalam siasah ialah bahawasanya hak wewinangan menentukan sesuatu itu (sovereignty) diberi kepada beberapa orang manusia, individu, suatu keluarga, suatu kelas atau kepada orang awam. Ideal kolektif yang paling luhur yang dianggap dapat dilakukan ialah dengan membentuk suatu komenwel. Negara ini akan diperintah oleh undang-undang buatan manusia. Setiap undang-undang akan dibuat atau dipinda menurut nafsu dan pengalaman-penglaman manusia. Polisi-polisi juga akan dirumus dan diubah mengikut kemahuan atau faedah peribadi. Dalam negara ini, mereka-mereka yang kuat dan melebihi yang lain dari segi kecerdasan, kepintaran menipu, berdusta, khianat, sikap tak ambil peduli dan kekejaman akan meningkat melalui kekuatan. Pimpinan masyarakat dan tampuk kekuasaan akan berada di
dalam tangan manusia-manusia seperti ini. Di dalam perlembagaan mereka akan termaktub prinsip: “Kekuatan itulah yang benar dan yang lemah itu sentiasa salah.”

Keseluruhan binaan masyarakat dan peradabannya akan didirikan di atas dasar mementingkan diri sendiri. Pembenaran (pemissiveness) dalam soal memenuhi nafsu syahwat seseorang akan bertambah serta meningkat, dan ukuran moralnya akan dibentuk supaya kebebasan sepenuhnya untuk memenuhi nafsu syahawat terjamin untuk semua orang. Seni budaya dan sastera akan dipengaruhi oleh falsafah hidup ini yang mana lama kelamaan akan menjurus kepada kelucahan dan aliran-aliran pomografi.

Dalam bidang ekonomi pula, kadang-kadang kaum pekerja akan menubuhkan kerajaan diktator proletariat melalui cara kekerasan. Walau bagaimanapun, keadilan tidak akan menjadi sebahagian daripada sistem-sistem ekonomi ini. Akhlaq setiap individu dalam masyarakat ini akan ditetapkan oleh pegangan asasnya yang mengatakan bahawa dunia ini dan segala kejayaan yang ada di dalamnya merupakan suatu hasil rampasan perang (booty) dan setiap manusia bebas untuk mengambil semahunya dan bila masa peluang itu wujud. Sistem pendidikan yang dirangka untuk melatih serta mendidik ahli-ahli masyarakat ini akan didasarkan kepada falsafah hidup ini dan mencerminkan sikap yang sama. Sistem pendidikan ini akan menerapkan di dalam generasi selanjutnya tentang pandangan yang sama terhadap dunia dan kedudukan
manusia di dalamnya yang telah diterangkan sebelum ini. Dalam setiap bidang ilmu pengetahuan maklumat serta penerangan akan disusun dan disampaikan secara sistematik untuk menanamkan di dalam pemikiran generasi baru tentang teori-teori kehidupan yang sama. Keseluruhan program latihan akan direkabentuk untuk melahirkan individu-individu yang mengambil sikap yang sama dalam kehidupan, dan akan diserapkan sepenuhnya ke dalam masyarakat ini. Saya tidak perlu berkata lebih panjang kepada anda tentang ciri-ciri sistem pendidikan jenis ini kerana anda sendiri pernah melalui sistem tersebut. Anda sedang belajar di institusi-institusi yang telah ditubuhkan di bawah sistem yang sama, sungguhpun mereka mempunyai nama-nama seperti ‘Kolej Islamiah’ atau ‘Universiti Muslim’ dan sebagainya.

Sikap dan pemikiran yang telah saya analisiskan itu muncul daripada sikap jahiliah setulen-tulennya. Sikap dan pemikiran ini sama dengan keadaan pemikiran seorang kanak-kanak yang bergantung semata-mata kepada pandangan inderanya dan menganggap api itu sebagai mainan yang menarik. Walau bagaimanapun, di sana terdapat suatu perbezaan. Ketidakbenaran pandangan kanak-kanak itu tadi akan jelas terbukti melalui pengalaman. Api yang dianggap oleh kanak-kanak itu sebagai barang mainan merupakan suatu bahan yang panas. Oleh itu apabila dia menyentuhnya dengan tangan, akan ketaralah bahawa api itu bukan barang mainan. Di sebaliknya pula, dalam kes yang sebelum ini, pandangan yang salah itu hanya menjadi ketara selepas berlalunya waktu yang panjang. Sesungguhnya kebanyakan manusia akan berada dalam kejahilan terhadap kesilapan pandangan dan penglihatannya. ‘Api’ yang dipegang oleh mereka ini mempunyai kepanasan yang rendah. Ia tidak terbakar dengan serta merta. Ia terus membakar berabad-abad lamanya.
Walau bagaimanapun jika seseorang itu berhasrat untuk belajar dari pengalaman-pengalaman hariannya ia patut memikirkan kembali bahawa disebabkan gaya berfikir beginilah, individu-individu sering melakukan penipuan, pemerintah-pemerintah melakukan penindasan dan kezaliman, hakim-hakim berlaku tidak adil, yang kaya menginginkan hak-hak orang lain, dan orang-orang biasa menjadi sesat. Sesungguhnya pengalaman hariannya yang sedemikian rupa, banyak pengajarannya. Lebih dasyat lagi ialah pengalaman-pengalaman seperti api-api nasionalisma, materialisma, peperangan yang membara dan konfrantasi, serangan-serangan serta kejadian-kejadian hebat dan keterlaluan yang timbul dan gaya berfikir yang sama, yang mungkin memaksanya untuk membuat kesimpulan bahawa gaya berfikir ini didasarkan kepada jahiliah daripada didasarkan kepada pengetahuan yang sebenar tentang Al Haq (kebenaran). Pandangan manusia terhadap sistem alam dan kedudukannya dalam alam yang didasarkan di atas dogma jahiliah ini tidak selaras dengan Al Haq, sebagaimana terbukti jelas dengan natijah-natijah dahsyat yang lahir darinya.

ISLAM DAN JAHILIAH
OLEH:
ABUL A’LA MAUDUDI

Sunday, January 10, 2010

HATI KANVAS


(coretan puisi dari cerpen yang tidak diterbitkan)

Hati kanvas...
Longlai bersahaja bersinar intan
Dikuasai dendam kesumat
Hitam kekuningan
Kuasa Harta mutlak
Meninggalkan keyatiman dan kerutan
Coklat bernisan

Hati kanvas...
Luahan tak berkesudahan
Hanya dia yang tahu tapi...
Tak mengerti
Apa sebenarnya?
Darjat dan kuasa mindanya
Ketawa dan tangis
Pun tidak berguna
Kenapa?
Itulah amarah dilubuk hatinya
Hati kanvas yang tidak bernyawa
Tapi mampu bersuara
Lantang...Keliru...Bersahaja...

nukilan: Lanuntawau/20.11.2001